Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU : Univerisiti Awam (UA) mahupun swasta tidak pernah menghalang mana-mana pelajarnya untuk pulang mengundi dalam mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini.

Jaminan itu diberikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sambil memaklumkan hak mengundi bagi pelajar yang juga warganegara sudah pun dijamin dalam perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mengambil contoh kes tertentu sepertimana yang berlaku di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkaitan penganjuran hari konvokesyennya, pihak universiti sudah pun memutuskan untuk menyelaras semula tarikhnya.

“Dua bulan lalu, ditimbulkan sama ada KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) perlu menimbangkan kedudukan mahasiswa, sama ada yang belajar di UMS Sabah, ataupun di semenanjung, bagi membolehkan mereka pulang (mengundi).

“Khususnya di UMS, kerana 60 peratus pelajar yang belajar di UMS itu adalah anak-anak Sabah. Jadi, pihak universiti sudah pun membuat keputusan untuk diinjak sikit hari konvokesyennya. 

“Kita faham, walaupun di peringkat awal ada sedikit ‘pros and cons’, ada yang kata tak setuju, ada kata setuju, tapi akhirnya ia (kekangan itu) dapat diselesaikan,” katanya. 

Beliau ditemui media selepas mengadakan program santai bersama media sempena PRN Sabah di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihak universiti memahami akan keperluan penjaga khususnya ibu bapa dan pelajar yang terbabit dalam acara itu, namun pada sama perlu menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Kita tidak mahu dilihat bahawa KPT cuba menghalang pelajar-pelajar untuk tidak mengundi, kerana hak mengundi ini adalah satu yang sudah pun ditetapkan dalam Perlembagaan kita. 

“Jadi, kita selesaikanlah. Kita akan benarkan untuk mereka pergi balik, apa semua,” katanya. 

Ditanya cadangan meletakkan pelajar dalam ketegori pengundi pos, Zambry berkata, tidak ada perbincangan antara KPT dan SPR mengenai perkara itu setakat ini, kerana SPR tertakluk kepada kriteria-kriteria tertentu. 

“Jadi, kriteria pengundi pos untuk pelajar yang ada bagi satu pilihan raya di sini belum ada ditetapkan oleh SPR. Apa-apa pun, kita serahkan pada SPR,” katanya.-BH Online