Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHANNESBURG, 23 November – Mesir mengemukakan permintaan agar Malaysia bukan sahaja menyertai Persidangan Pembangunan Semula Gaza, tetapi juga turut menjadi penganjur bersama.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan sejawatannya dari Mesir Mostafa Madbouly telah menyampaikan salam daripada Presiden Abdel Fattah el-Sisi bersama permintaan tersebut.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

“Mesir menyatakan hasrat agar Malaysia menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza dan turut menjadi penganjur bersama.

“Saya memaklumkan beliau bahawa saya akan terlebih dahulu mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar, sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan kerjanya di sini.

Persidangan itu bertujuan untuk mendapatkan persetujuan semua negara Arab, Islam, Amerika Syarikat dan lain-lain supaya pelaksanan fasa satu pembangunan itu dilihat secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata Malaysia, bersetuju fasa pertama pembangunan yang digagaskan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Beliau juga bertemu Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang bercakap mengenai operasi Petronas di negara itu.

“Lula berbangga dengan pencapaian Petronas di sana dan mahukan syarikat itu mengembangkan operasinya,” katanya.

Perdana Menteri akan berlepas ke Nairobi, Kenya bagi melengkapkan siri lawatan tiga negara beliau di Afrika.-Berita RTM