Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia perlu mempercepat penggunaan teknologi bagi memastikan daya saingnya terus kukuh dalam persekitaran global yang menyaksikan permintaan meningkat, ketidakpastian harga, perubahan landskap pelaburan serta desakan pantas terhadap penyahkarbonan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata revolusi teknologi yang dipacu pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan dan bahan api baharu terus mengubah sektor tenaga pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Selain meningkatkan penggunaan teknologi, kita perlu membentuk laluan pembiayaan yang mengambil kira nilai peralihan jangka panjang, bukan hanya pulangan segera. Lebih penting, kita mesti memupuk dan memperkasa bakat yang akan membawa kisah tenaga negara ke dekad seterusnya,” katanya ketika berucap pada Anugerah Serantau Majlis Industri Tenaga (EIC) Asia Pasifik 2025 di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia sedang memperluas tenaga boleh baharu, memperkukuh keupayaan grid, membangunkan negara sebagai hab hidrogen serta meneroka teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) sebagai pemacu utama penyahkarbonan industri.

Beliau menegaskan walaupun negara mengalu-alukan kepakaran global, Malaysia tetap komited menyokong jaguh tempatan yang berpotensi berkembang bersama negara dan memperkukuh daya saing jangka panjang.

Katanya, apabila peralihan tenaga negara dipercepatkan, rantaian bekalan perlu berkembang seiring dengan mengadaptasi teknologi, piawaian dan bentuk kerjasama baharu bagi memantapkan ekosistem tenaga.

Gala Asia Pasifik Anugerah Serantau EIC di Kuala Lumpur diadakan bagi mengiktiraf penyampaian, kepimpinan teknologi dan pertumbuhan rantaian bekalan tenaga di rantau ini. Majlis itu adalah sebahagian daripada Anugerah Rantaian Bekalan Tenaga Dunia (WESCA), program anugerah terbesar seumpamanya dengan acara tahunan di London, Houston, Rio de Janeiro, Dubai dan Kuala Lumpur.

EIC merupakan antara persatuan perdagangan tenaga terbesar dunia, menyediakan data projek, risikan pasaran, acara dan advokasi kepada pemain rantaian bekalan global. Tahun ini, sembilan syarikat disenarai pendek untuk WESCA merentasi empat kategori iaitu Kolaborasi; Insan (Individu) dan Transformasi; Teknologi dan Kemampanan; Inovasi dan Digital; serta Perkhidmatan dan Penyelesaian. – Bernama