KOTA BHARU, 23 November – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkepung atau terjejas banjir Monsun Timur Laut (MTL) untuk ke pusat peperiksaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pergerakan pelajar terbabit akan diselaras bersama agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau menjelaskan sebahagian besar calon SPM telah ditempatkan di asrama, namun KPM turut menyediakan aset tambahan bagi memastikan pelajar yang terkandas dapat dihantar ke pusat peperiksaan.
Menurutnya, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain melalui pelaksanaan Ops Payung, yang sudah diaktifkan.
“Kita pantau situasi ini dengan ketat, khususnya melibatkan calon SPM. Walaupun ramai sudah berada di asrama, kita tetap bersedia memindahkan pelajar yang terkepung menggunakan aset agensi terlibat bagi memastikan mereka sampai ke pusat peperiksaan. Alhamdulillah, JPN Kelantan berpengalaman dan sentiasa bersiap siaga menghadapi situasi banjir,” katanya.
Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tapang, pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa, termasuk di negeri yang dilanda banjir.
Bagi pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan SPM tetapi terkesan banjir, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) digunakan bagi mengelakkan gangguan terhadap sesi pembelajaran dan operasi PPS.
Menurut Fadhlina, pelajar yang perlu hadir ke sekolah dalam situasi banjir juga tidak diwajibkan memakai pakaian sekolah, asalkan berpakaian sopan dan sesuai.-Berita RTM
