KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan Malaysia akan terus menyokong usaha membawa Israel ke muka pengadilan di badan kehakiman antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia juga berpendirian usaha kolektif perlu dilaksanakan bersama negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan pertubuhan antarabangsa lain bagi tujuan itu.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan tindakan haram Israel mendapat hukuman tegas dan berkesan.
“Perdana Menteri bersama pemimpin OIC sebulat suara mengecam tindakan ketenteraan serta kekejaman berterusan Israel, selain menuntut mereka dipertanggungjawabkan pada peringkat antarabangsa, ketika Sidang Tergempar Negara Islam dan Liga Arab di Doha, Qatar, 15 September lalu.
“Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan tindakan Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta prinsip kemanusiaan sejagat, tidak boleh dibiarkan.
“Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa mempertimbangkan langkah punitif, termasuk melalui pendekatan diplomatik dan sekatan ekonomi, sebagai tekanan ke atas Israel supaya menghentikan tindakan itu yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai tindakan tegas Malaysia pasca Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Qatar serta bantuan kemanusiaan digerakkan bagi membantu rakyat Palestin.
Sementara itu, Mohamad berkata, sumbangan bernilai RM74 juta sudah disalurkan kepada rakyat Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) sejak Oktober 2023, merangkumi pelbagai bentuk bantuan termasuk makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas.
Beliau berkata, komitmen itu diteruskan dengan tambahan RM100 juta untuk bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika malam kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 pada 24 Ogos lalu.
“Sehubungan itu, rakyat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan syarikat swasta, diseru terus memberikan sumbangan melalui AAKRP.
“Ini sebagai tanda keprihatinan dan solidariti berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Selain itu, Mohamad berkata, Ops Ihsan sebagai inisiatif bersama yang menggabungkan peranan NGO seliaan Kementerian Luar, akan terus menjadi tonggak utama misi kemanusiaan ke Gaza.
Beliau berkata, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan NGO yang menggerakkan Ops Ihsan pada 17 Oktober lalu bagi menyelaraskan pelaksanaan bantuan segera ke Gaza.
“Susulan itu, kementerian mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Sekretariat Ops Ihsan dan 12 NGO terbabit pada 21 Oktober lalu, bagi menyusun penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam tempoh terdekat.
“Antara bantuan dikenal pasti sebagai keutamaan ialah makanan, air bersih dan minyak masak; ubat-ubatan; serta perkhidmatan perubatan dan bantuan musim sejuk seperti selimut serta pakaian tebal,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Lintasan Rafah sudah dibuka pada 19 Oktober lalu, susulan pelaksanaan Pelan Damai Gaza yang ditandatangani Amerika Syarikat (AS), Mesir, Turkiye dan Qatar.
Melalui pelan damai itu, beliau berkata, sebanyak 600 trak bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki Gaza setiap hari melalui laluan darat di lintasan Rafah.
“Setakat ini, jumlah trak yang masuk ke Gaza masih belum mencapai angka berkenaan berikutan kekangan keselamatan dan pemeriksaan ketat dilaksanakan rejim Zionis di sempadan. Namun, ini tetap dianggap perkembangan positif dan signifikan.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan di sempadan Rafah, selain sentiasa bekerjasama dengan NGO dan rakan serantau bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin,” katanya.-BH Online
