Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan hampir RM500 juta bagi pengurusan banduan pada tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, rekod Jabatan Penjara Malaysia menunjukkan RM490.2 juta telah dibelanjakan pada tahun 2024, manakala RM433.6 juta telah digunakan sehingga 26 September tahun ini. 

“Perbelanjaan tersebut meliputi kos pengurusan, utiliti, keperluan asas, makanan, perkhidmatan kesihatan, pengiring mahkamah dan hospital serta program pemulihan dan reintegrasi,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen. 

Saifuddin berkata, sebanyak 355,604 kemasukan banduan direkodkan pada tahun 2024, terdiri daripada 263,412 warganegara dan 92,192 bukan warganegara.

“Bagi tempoh hingga 24 September, 278,272 kemasukan telah direkodkan, membabitkan 199,463 warganegara dan 78,809 bukan warganegara. 

“Kebanyakan banduan berusia antara 31 hingga 40 tahun, dengan majoriti menjalani hukuman antara satu hingga enam tahun.” 

Berdasarkan kategori hukuman, Saifuddin berkata daripada 355,604 banduan yang direkodkan pada 2024 seramai 225,961 adalah banduan reman, manakala 129,643 adalah banduan sabitan. 

Dalam kumpulan reman, 176,625 adalah warganegara dan 49,336 bukan warganegara; manakala bagi banduan sabitan, 86,787 adalah warganegara dan 42,856 bukan warganegara.

“Bagi tahun 2025, 174,356 adalah banduan reman dan 103,916 banduan sabitan. 

Saifuddin berkata, Jabatan Penjara tetap komited memastikan kebajikan, kesihatan dan pengurusan banduan dilaksanakan dengan berkesan. 

“Fokus bukan hanya kepada penyediaan keperluan asas, tetapi turut menumpukan kepada pengukuhan pemulihan, pembangunan sahsiah, kesejahteraan mental serta peluang reintegrasi yang berkesan. 

“Pendekatan holistik ini penting bagi memastikan banduan kembali ke masyarakat dengan persediaan yang lebih baik, produktif dan bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan negara,” katanya.-BH Online