Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 18 November -Kementerian Digital menegaskan aplikasi MyGOV Malaysia, yang menggunakan MyDigital ID sebagai pengesahan digital, mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan tidak mengambil atau menyimpan data peribadi pengguna.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata semua perkhidmatan yang disepadukan ke dalam aplikasi itu perlu melalui ujian keselamatan, penilaian risiko dan audit sistem sebelum dibuka kepada pengguna.

“Kita juga melaksanakan penilaian risiko dan audit sistem sebelum di aktifkan untuk kegunaan rakyat.

“MyGOV Malaysia tidak menyimpan data peribadi kerana integrasi dilaksanakan melalui API (Application Programming Interface), dan data kekal berada dan disimpan selamat di sistem agensi masing-masing” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, Gobind berkata kementerian sentiasa mematuhi undang-undang negara dalam pengurusan data, termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).

Setakat semalam (Ahad), MyGOV Malaysia versi Beta yang dilancarkan pada 16 Ogos lalu telah mencatat 113,000 muat turun.

Gobind turut memaklumkan bahawa kementerian sedang mengintegrasikan 16 perkhidmatan baharu, antaranya pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan, pembayaran saman JPJ dan PDRM, pembayaran bil utiliti, urusan zakat serta urusan saman dan cukai PBT.

“Kementerian kini sedang mengintegrasikan 16 lagi perkhidmatan, antaranya pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan, pembayaran saman JPJ dan PDRM, pembayaran bil utiliti, urusan zakat serta pembayaran saman dan cukai pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya

Beberapa perkhidmatan tambahan turut dirancang, termasuk MyBayar PDRM, permohonan MyKad gantian, tuntutan eGUMIS, dan integrasi portal Manfaat bagi memudahkan semakan kelayakan bantuan kerajaan.-Berita RTM