Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR , 18 November – Malaysia mendesak kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan negara-negara ASEAN bagi menangani ancaman jenayah digital yang dihadapi kanak-kanak ketika ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peningkatan penggunaan internet kesan daripada pandemik penyakit sebelum ini menjadikan kanak-kanak lebih terdedah kepada buli siber dan ia menuntut tindakan yang boleh diselaraskan merentasi sempadan.

“Sebab itulah pelan tindakan serantau sangat penting. Kita bekerjasama dengan ASEAN dan juga negara-negara lain seperti Australia yang turut memberi sokongan, selain Urogram Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) yang sentiasa bersama kita.

“Ini kerana apa sahaja yang berlaku di dalam negara kita boleh berlaku di seluruh rantau,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Forum ICT ASEAN mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian yang disemprunakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Forum itu menghimpunkan penggubal dasar serantau, badan bukan kerajaan (NGO), pakar teknologi dan wakil belia selama dua hari untuk menyelaraskan strategi dalam melindungi kanak-kanak dalam ruang siber.

Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan Malaysia sendiri dipandu empat objektif teras termasukkelangsungan hidup, pembangunan, perlindungan dan penyertaan serta disokong 16 keutamaan strategik serta pelan tindakan yang akan dibentangkan di Parlimen.

Antara pembaharuan mendesak yang sedang diusahakan ialah pindaan undang-undang untuk mentakrifkan dan menangani buli fizikal dan siber yang pada masa ini tidak mempunyai takrifan yang jelas bawah undang-undang Malaysia.

Kerajaan bergerak pantas dalam hal ini termasuk mewujudkan tribunal untuk buli, yang dimodelkan seperti tribunal anti-gangguan seksual dan ia sedang diusahakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman.

Datuk Seri Nancy juga bimbang terhadap peningkatan kes eksploitasi kanak-kanak, walaupun data rasmi daripada pihak polis masih belum diperolehi.

Bagi mengekang perkara itu daripada terus menular, ibu bapa dan guru mesti dilengkapi dengan pengetahuan terkini selain pemantauan berkesan ke atas kanak-kanak.

Beliau berkata, golongan belia berumur 15 hingga 24 tahun amat berisiko, dengan sebanyak 14 hingga 16 peratus yang tidak bekerja, tidak berpendidikan dan tidak menjalani sebarang latihan. – Berita RTM