KOTA BHARU: Cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun akan dilihat dari pelbagai perspektif dan sudut bagi memastikan implikasi yang baik diterima kepada semua pihak.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kebiasaannya untuk apa sahaja cadangan, sudah pasti ada pro dan kontra namun pengakhirannya mestilah membawa manfaat terhadap penerima serta negara sendiri.
Beliau berkata, setakat ini, sesi libat urus masih berlangsung antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama pihak berkaitan termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan persatuan pesara.
“Setakat ini, cadangan terbabit masih dalam kajian dan ia tercatat dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) supaya kerajaan membuat kajian ke arah umur persaraan 65 tahun.
“Ia baru di peringkat permulaan dan masih dalam tindakan pihak JPA cuma sesi libat urus sudah kita adakan dengan beberapa pihak berkaitan seperti CUEPACS, persatuan pesara untuk mendaapt pandangan awal, jadi kita tunggu lah apabila ia selesai (libat urus) nanti,” katanya kepada pemberita ketika Program Ziarah Pesara di Min House Camp, Kubang Kerian di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, memandangkan perkara itu adalah sesuatu yang di luar dari kebiasaan maka perlukan satu kajian dan penelitian yang lebih rapi supaya apa jua keputusan yang diambil nanti boleh memberi manfaat kepada semua pihak.
Perdana Menteri semasa pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat pada 31 Julai, memaklumkan bahawa had umur persaraan wajib akan dikaji semula seiring peralihan Malaysia ke arah negara tua.
Perkara itu terkandung dalam Prakarsa Kesembilan RMK13, yang menekankan aspek keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk seluruh rakyat.
Pada Mei, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.
Azalina berkata, menjadi satu kerugian sekiranya individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun, sedangkan mereka masih sihat, bertenaga dan mampu menyumbang secara produktif kepada tenaga kerja negara.
Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam di Malaysia ditetapkan pada 60 tahun, yang juga umur persaraan minimum bagi sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
Selain itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, nilai integriti adalah satu pegangan penting yang perlu ada dalam setiap diri penjawat awam malah termaktub dalam pekeliling penjawat awam.
“Integriti adalah sesuatu yang memang penting dan perlu dipegang setiap penjawat awam kerana tanpa integriti, kita akan menuju kepada kehancuran.
“JPA memang ada pekeliling iaitu peraturan yang menekan kepada integriti jadi bagi saya hanya segelintir saja mereka yang masih lagi kurang nilai integritinya.
“Di pihak kerajaan, kita sentiasa mementingkan integriti itu agar menjadi pegangan, mesti ada dalam setiap jiwa dan individu penjawat awam itu sendiri, sesuatu yang harus diperjuangkan,” katanya diminta mengulas soal integriti membabitkan penahanan lapan individu termasuk penjawat awam selepas memasuki Kelantan tanpa dokumen sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada 4 November lalu.
Terdahulu beliau hadir di Min House Camp, Kubang Kerian, di sini, melawat pesara kerajaan, Wan Noriah Wan Ramli, 69, yang mengusahakan kawasan chalet itu sejak bersara pada 2010 sempena Program Ziarah Pesara.-BH Online
