Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Draf Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) akan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Katanya, ketika ini memorandum berhubung penubuhan lembaga berkenaan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan dibawa ke Jemaah Menteri sebelum hujung tahun ini.

“Selepas mendapat kelulusan prinsip, maka draf RUU itu akan dapat dilaksanakan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Seterusnya, kita harap dapat bawa balik ke Parlimen untuk dibentangkan RUU itu pada tahun hadapan,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan ShaharizukirnainAbd Kadir (PN- Setiu) berhubung kekangan utama yang menghalang penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB), yang dicadangkan sejak hampir 11 tahun lalu memandangkan kadar kemalangan jalan raya masih tinggi sekali gus bagi memperkukuh aspek keselamatan dalam sektor pengangkutan.

Bagaimanapun dalam sesi itu, Anthony Loke, berkata ketika ini model MTSB belum dimuktamadkan namun akan mengambil kira pandangan serta perbandingan dengan agensi antarabangsa di luar negara.

“Sudah tentu kita akan mengambil kira amalan terbaik daripada agensi-agensi berkenaan.

“Malah, pasukan petugas yang dibentuk juga mempunyai kebebasan untuk membuat siasatan dan memberikan sebarang syor. Apabila laporan itu disiapkan, ia tidak akan dilakukan sebarang pindaan dan akan dibentangkan secara terbuka,” katanya.

Loke mengumumkan penubuhan MTSB pada 2019, yang akan bertanggungjawab untuk menyiasat kes kemalangan pengangkutan di negara ini.

Penubuhan MTSB disyorkan Panel Kaji Semula Syor (RRP), sebuah panel bebas yang diwujudkan kementerian yang mencadangkan keperluan untuk menubuhkan agensi khas bagi menyiasat kemalangan di seluruh negara.-BH Online