KOTA KINABALU, 17 November– Kerajaan Persekutuan akan memberi tumpuan kepada tiga projek pembangunan utama di Sabah termasuk Talian Penghantaran Southern Link Fasa 1A di Pantai Timur sebagai komitmen berterusan menangani masalah bekalan elektrik di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dua lagi projek tumpuan ialah pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu dan pembinaan jalan baharu dari Kalabakan ke Simanggaris, sempadan Malaysia-Indonesia di Kalabakan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata ketiga-tiga projek itu akan dikendalikan oleh kementeriannya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya.
“Selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026, terdapat 1,143 program atau projek melibatkan peruntukan RM6.89 bilion, termasuk 188 program atau projek baharu.
“Tiga projek ini akan menjadi antara tumpuan pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program/Projek Pembangunan Sabah 2025 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
Datuk Seri Fadillah berkata mesyuarat itu membincangkan Laporan Status Projek Lewat Jadual (Sakit) Sabah serta prestasi projek pembangunan Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5 RMKe-12) 2025 dan mekanisme pelaksanaan projek RP1 RMK13 2026.
Menurut beliau, mesyuarat itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah untuk memantau dan menilai kelancaran pelaksanaan projek pembangunan negeri serta menyelesaikan sebarang “stumbling block”.
“Secara keseluruhannya, prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan bagi RP5 RMKe-12 sehingga 3 Nov 2025 di peringkat nasional adalah 71.97 peratus atau RM61.89 bilion berbanding peruntukan asal RM86 bilion bagi 9,516 projek.
“Bagi Sabah pula, dengan jumlah projek tertinggi berbanding negeri lain iaitu 1,294 projek, prestasi perbelanjaan sehingga 3 Nov 2025 adalah 70.13 peratus atau RM4.17 bilion berbanding peruntukan asal RM5.94 bilion,” katanya.
Datuk Seri Fadillah berkata mesyuarat itu menjadi platform bagi kedua-dua kerajaan untuk meneliti, berbincang dan berkongsi pandangan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah berjalan lancar.
Beliau menjelaskan antara punca kelewatan projek termasuk kelemahan kontraktor, bekalan bahan serta faktor cuaca, dan hasil perbincangan mendapati sembilan projek Lewat Jadual akan siap pada suku pertama 2026.
Mengulas prestasi projek PETRA di Sabah, Datuk Seri Fadillah berkata perbelanjaan terkini bagi RP5 RMKe-12 adalah RM674.3 juta, bersamaan 94.5 peratus daripada peruntukan 2025 berjumlah RM713.1 juta.
Prestasi itu merangkumi 88 projek termasuk 27 projek berkaitan tebatan banjir, pencegahan hakisan pantai dan pemuliharaan sungai, 17 projek bekalan air, 16 projek perkhidmatan pembetungan, dan 28 projek pengukuhan bekalan elektrik.
Susulan pengumuman Belanjawan 2026, terdapat 88 projek PETRA termasuk 74 sambungan dan 14 projek baharu.
Antara projek baharu yang menjadi tumpuan tahun depan ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog (Pakej 2A, 3A, 4) dengan kos RM252 juta.
“Selain itu, pemasangan paip transmisi dan agihan utama termasuk tangki simpanan di sebahagian kawasan bandar Tawau, dengan kos RM236.6 juta, dan menaik taraf kolam pengoksidaan Inanam kepada Loji Rawatan Kumbahan Serantau di kawasan tadahan tengah, Inanam, Kota Kinabalu dengan kos projek RM536 juta,” katanya. -BERNAMA
