KOTA KINABALU: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak wajar menjurus kepada sentimen membenci Persekutuan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sentimen dan hasutan ke arah itu akan juga menyukarkan pasukan keselamatan.
Isu keselamatan juga tidak wajar dipolitikkan kerana ia perkara penting yang tidak boleh diabaikan atau dikompromi.
“Jangan ada (pihak) yang hasut membenci Persekutuan kerana itu akan menyusahkan anggota keselamatan dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan,” katanya selepas merasmikan Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sepanggar di Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, di sini semalam.
Beliau menegaskan demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan pihak tertentu memainkan sentimen keselamatan dalam ceramah kempen PRN Sabah ke-17.
Kukuhkan hubungan
Katanya, keselamatan negara adalah kepentingan bersama dan untuk melancarkan tugas anggota keselamatan, hubungan baik antara Persekutuan dan negeri perlu sentiasa diperkukuh.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kehadirannya ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu turut memberi peluang kepadanya meninjau perkembangan pelaksanaan beberapa keputusan yang sudah dipersetujui dalam lawatan terdahulu.
Beliau turut memuji penganjuran Karnival TLDM di markas berkenaan yang disifatkannya sebagai platform penting untuk memperkukuh kefahaman warga tentera, keluarga mereka serta masyarakat mengenai peranan keselamatan negara.
Menurut Menteri Pertahanan, pemahaman yang jelas terhadap tugas dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampu mengelakkan masyarakat, termasuk keluarga anggota daripada terpengaruh dengan sentimen luar yang boleh menimbulkan perpecahan dan menjejaskan keberkesanan mereka dalam melaksanakan amanah. – BERNAMA
