SHAH ALAM: Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, memberitahu, keputusan itu membuka jalan bagi MIC untuk memohon secara rasmi untuk menyertai PN.
Jelasnya penyertaan dengan PN adalah bertujuan membina sebuah platform baharu yang lebih inklusif, berprinsip serta memberi ruang lebih luas kepada suara masyarakat India di Malaysia.
“Setelah mengambil kira situasi politik semasa negara, serta berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap kedudukan dan kepentingan MIC dalam gabungan BN.
“Kerjasama sedia ada tidak lagi memberi ruang yang mencukupi untuk MIC memainkan peranan yang efektif bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan menyumbangkan secara bermakna kepada pembangunan nasional di tanah air kita.
“Dengan ini Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC sebulat suara bersetuju untuk MIC bersedia untuk menamatkan penyertaan dalam gabungan BN.
“Ia bagaimanapun tertakluk kepada proses dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan MIC,” katanya ketika ucapan Pindaan Perkembagaan dan Resolusi pada AGM MIC di sini, pada Ahad.
Menurut Saravanan lagi, keputusan itu diambil setelah perbincangan yang mendalam dan teliti dalam kalangan ahli akar umbi, pimpinan peringkat bahagian, cawangan serta kepimpinan MIC negeri dan Pusat, pemegang jawatan serta perwakilan dari seluruh negara.
Namun begitu, perwakilan bersetuju agar keputusan ditangguhkan sehingga mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan datang untuk membuat keputusan.-Astro Awani
