Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Georgetown: Ekonomi Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan meskipun tidak terkecuali menjadi salah sebuah negara yang berdepan dengan cabaran kos sara hidup, dunia pekerjaan yang berubah dan teknologi yang bergerak pantas.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata kesemua cabaran itu mampu ditangani dengan rakyat menitikberatkan literasi kewangan yang lebih baik.

Katanya, ia menjadi kemahiran asas yang membantu rakyat untuk berfikir lebih panjang sebelum berbelanja, membuat keputusan kewangan yang bijak dan membina daya tahan isi rumah.

“Ilmu kewangan membantu kita menilai keperluan sebenar, mengelak hutang berlebihan, dan sentiasa bersedia sekiranya menghadapi kecemasan.

“Atas sebab itu, FEN (Jaringan Pendidikan Kewangan) sudah memperbaharui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 yang matlamat kita bukan sekadar mahu rakyat tahu mengira duit, tetapi tahu menggunakan duit dan menguruskan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Karnival Celik Kewangan Pulau Pinag anjuran BNM dengan kerjasama industri kewangan yang disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sebuah pusat beli belah di Bayan Lepas, di sini, hari ini.

Karnival itu adalah acara kemuncak Bulan Literasi Kewangan 2025, satu inisiatif nasional untuk memperkasa rakyat dengan ilmu dan kemahiran kewangan. 

Sepanjang bulan ini, Skuad Celik Kewangan, yang terdiri daripada ahli-ahli dan rakan usaha sama FEN, telah menjelajah ke lebih 100 lokasi di seluruh negara untuk bertemu pelajar, peniaga kecil, suri rumah dan warga emas dengan membawa mesej mengurus wang dengan bijak adalah asas kesejahteraan hidup.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, dunia kewangan digital yang semakin berkembang mendorong hampir sembilan daripada sepuluh rakyat Malaysia sudah mula menggunakan perkhidmatan kewangan digital daripada membayar bil hingga membeli perlindungan insurans. 

“Namun dalam kemudahan ini, ada risikonya apabila terdedah dengan serangan scam (jenayah penipuan) yang semakin canggih apabila ada yang menggunakan AI (kecerdasan buatan) untuk meniru suara dan wajah orang yang kita kenal.

“Pesanan kami, jangan kongsi maklumat peribadi. Periksa sebelum klik. Fikir sebelum bayar,” katanya.-MyMetro Online