Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Selangor mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak tiga bulan gaji secara berperingkat kepada penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia sebagai penghargaan kepada penjawat awam negeri yang bersama-sama menggerakkan langkah berani reformasi untuk memasuki era baharu ‘Selangor Juara’.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, kita memerlukan komitmen semua.

“Justeru sebagai tanda penghargaan serta dorongan khidmat penjawat awam, kerajaan negeri dengan sukacitanya mengumumkan BKK bagi tahun fiskal ini sebanyak tiga bulan gaji.

“BKK satu bulan setengah gaji sudah disalurkan pada awal tahun ini.

“BKK kali kedua sebanyak satu bulan setengah gaji dengan minimum RM1,000 akan disalurkan pada 18 Disember depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Amirudin berkata, bantuan khas itu turut meliputi pemberian kepada pemimpin masyarakat di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK); Pegawai Perhubungan Kampung Baru, Bagan dan Tersusun; Ketua Komuniti India; Penyelia Wanita Berdaya, serta Penggerak Belia Selangor yang akan menerima sebulan elaun.

Selain itu, katanya, petugas masjid akan menerima RM500 sumbangan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).

Terdahulu, Amirudin membentangkan Belanjawan Selangor 2026 berjumlah RM3.23 bilion, meningkat sebanyak RM230 juta berbanding RM3 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.

Bertema ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’, Belanjawan Selangor 2026 merangkumi RM1.86 bilion (57.6 peratus) perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion (42.4 peratus) perbelanjaan pembangunan.

Amirudin berkata, Belanjawan Selangor 2026 mengangkat enam tekad, iaitu Sumber Hasil Negeri, Peluang Ekonomi Rakyat; Reformasi Tadbir Urus Memartabatkan Bangsa; Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan; Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda; Selangor Negeri Penyayang; serta Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan Infrastruktur.-BH Online