Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan Pelan Transformasi Struktur Pegangan Tanah Padi Nasional perlu diteliti secara terperinci kerana ia membabitkan isu pemilikan tanah pesawah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pelaksanaan pelan itu tertakluk kepada pelbagai faktor, antaranya persetujuan pemilik tanah dan kesesuaian tapak serta ketersediaan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan perkara ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa mengambil langkah berterusan bagi memastikan industri padi negara terus mampan dan berdaya saing.

“KPKM juga mengambil maklum akan isu keluasan sawah yang kecildan berpecah-pecah yang menjadi antara kekangan utama kepada peningkatan produktiviti padi negara.

“Berdasarkan data terkini, purata saiz sawah yang dimiliki oleh seorang pesawah di Malaysia kini hanyalah sekitar 1.06 hektar, jauh lebih kecil berbanding negara jiran seperti Vietnam dan Thailand yang memiliki sawah padi berskala besar dan kebanyakannya berjaya mengadaptasi penggunaan teknologi moden dan digital dalam pengurusan penanaman padi mereka.

“Justeru, KPKM menyambut baik cadangan Pelan Transformasi Struktur Pegangan Tanah Padi Nasional, namun, ianya perlu diperhalusi secara teliti kerana menyentuh isu pemilikan tanah pesawah yang mana perihal tanah adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen, semalam. 

Mohamad menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang meminta beliau menyatakan sama ada kementerian bersedia untuk memperkenal Pelan Transformasi Struktur Pegangan Tanah Padi Nasional yang menetapkan garis masa yang jelas.

Katanya, ia supaya Malaysia tidak terus ketinggalan berbanding negara jiran seperti Vietnam dan Thailand yang sudah mencapai purata saiz sawah lebih besar bagi menyokong teknologi digital.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, adalah menjadi hasrat KPKM supaya industri padi dan beras berdaya maju dengan membabitkan pesawah dalam mengusahakan saiz sawah padi lebih besar berbanding saiz semasa untuk memastikan hasil padi dan pendapatan lebih tinggi. 

“Oleh demikian, Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) adalah antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dan ianya diperluas dengan gabungan sistem pengurusan sistematik serta penggunaan teknologi yang dijangka dapat meningkatkan hasil padi dan pendapatan pesawah,” katanya.-BH Online