Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi banjir yang dikhuatiri berlaku sepanjang proses Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, persediaan rapi kini dilaksanakan untuk memastikan tempat perlindungan, makanan dan keperluan asas tersedia.

Malah katanya, agensi lain juga sudah diminta membuat persediaan termasuk bagi memberikan sokongan psikososial. 

“Musim Monsun Timur Laut (MTL) sudah pun bermula dan kini kami sudah bersedia untuk menghadapinya terutama di Sabah kerana kita bimbang bencana melanda ketika proses pilihan raya sedang dilaksanakan.

“Ketika ini, pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap daerah di Sabah diletakkan dalam keadaan bersedia sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Warisan Santubong 2025 di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Santubong, di sini hari ini.

Isnin lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan berkata, MTL 2025/2026 dijangka bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh MTL itu, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku untuk tempoh beberapa hari, sekali gus boleh mencetuskan banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah. Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.

Nancy berkata, pihaknya memantau ramalan cuaca setiap hari bagi memudahkan tumpuan perkhidmatan di kawasan yang dijangka dilanda hujan lebat.

“Kami juga sudah mengumpul agensi lain yang berada di kawasan berisiko untuk mendapatkan kerjasama mereka membantu apabila diperlukan. Malah kita juga akan menambah pegawai dan kakitangan JKM dari luar Sabah, jika keadaan memerlukan,” katanya.-BH Online