PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penjawat awam perlu sentiasa berusaha memperbaiki diri serta menambah baik perkhidmatan awam dan bukan sekadar berpuas hati dengan apa dilakukan.
Perdana Menteri berkata kejayaan pembangunan negara bergantung kepada kesungguhan pemimpin dan pegawai dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Usaha tambahan adalah keperluan utama bagi memastikan kerja kita bukan sekadar memenuhi kuota atau formaliti, tetapi memberi makna sebenar kepada rakyat.
“Penyelenggaraan, adakah kita lakukan sebaiknya? Adakah yang kita berikan nanti benar-benar mampu untuk mengangkat negara ini dalam membela nasib mereka yang tersisih?
“Namun saya bangga, keseluruhan kita (penjawat awam) berjaya menjadikan negara kita sesuatu yang lebih baik. Saya pantau dan lihat kesungguhan yang dilakukan oleh penjawat awam, contohnya Kampung Angkat MADANI, saya lihat mereka bergelut dan bersungguh-sungguh untuk menjayakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata pembangunan sebenar negara bukan sekadar gedung atau teknologi, tetapi pembangunan manusia secara menyeluruh yang berpegang kepada nilai, akhlak dan tanggungjawab sosial.
Beliau berkata meskipun teknologi dan infrastruktur penting untuk kemajuan namun nilai kemanusiaan, akhlak, keadilan, empati dan integriti juga tidak boleh diabaikan.
“Pembangunan ini sebenarnya pembangunan manusia seutuhnya yang kita bangunkan, bukan sekadar gedung atau industri. Tentunya kita menyebut pembangunan gedung, industri atau kecerdasan buatan (AI), tetapi yang kita perlu bangunkan itu adalah pembangunan manusia.
“Sebab itu, aspek kemanusiaan ini penting. Kita perlu sentiasa diingatkan bahawa pembangunan sebenar berlaku apabila nilai manusia tidak diabaikan.
“Pembangunan manusia seutuhnya bermakna ada empati, keberhatian terhadap keluarga yang paling rendah dan kita tidak meninggalkan aspek-aspek masyarakat yang memerlukan perhatian,” katanya.
Anwar juga menekankan kepentingan menyepadukan pembangunan tradisi dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, transformasi tenaga dan inovasi, sambil mengekalkan nilai, agama, budaya dan perpaduan rakyat.
“Bagi negara seperti Malaysia, pencapaian ini bukan perkara mudah. Ekonomi sederhana, tetapi kita berjaya menarik pelaburan tinggi dan mengekalkan kestabilan politik.
“Usaha kita adalah amanah. Kita mesti terus membangun diri, keluarga dan negara dengan nilai, keikhlasan dan kesungguhan. Ini bukan mudah, tetapi usaha yang betul akan menghasilkan kesan yang meyakinkan kepada rakyat dan negara,” katanya.-BH Online
