Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI: Tindakan Datuk Ewon Benedick meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi disifatkan sebahagian daripada dinamik politik yang sentiasa berubah.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan berkenaan tidak memberi kesan besar terhadap kedudukan kerajaan.

“Dia tidak sama sekali (beri kesan). Itu lumrah dalam politik, dinamik dalam politik.

“Ada orang pilih bersama kita, ada orang pilih tidak sama kita (itu namanya) ‘political dynamic’,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri Kabinet berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu dilakukan ketika parti di Sabah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, yang diadakan dalam tempoh dua minggu lagi.

Menerusi laporan media, Ewon dipetik berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada urusan politik di Sabah dan memperkukuh kedudukan UPKO sebagai parti tempatan dalam landskap politik negeri itu.-BH Online