TAWAU: Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dijadual esok akan memuktamadkan keputusan sama ada kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan isu rombakan Kabinet tidak termasuk dalam agenda mesyuarat itu, sebaliknya tumpuan diberikan sepenuhnya kepada perbincangan dan keputusan muktamad mengenai langkah susulan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.
“Seperti biasa, negara ini negara hukum. Ada proses yang perlu dilalui, maka kita dengar dahulu pandangan Peguam Negara sebelum memuktamadkan keputusan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Malaysia Digital sini, hari ini.
Anwar berkata, pendiriannya berhubung isu itu telah disampaikan sebelum ini, namun keputusan akhir hanya akan dibuat selepas mendengar penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jemaah Menteri.
“Bayangan pendirian saya telah saya sampaikan. Jadi kita muktamadkan esok selepas berbincang dengan Jemaah Menteri,” katanya.
Sementara itu, mengulas peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict, Anwar berkata, beliau memahami keresahan berhubung isu berkenaan namun menyifatkan langkah itu dibuat terlalu awal.
“Dia (Ewon) tahu kita belum muktamadkan isu rayuan itu kerana secara proses biasa, mana-mana penghakiman peringkat Mahkamah Tinggi terutama bila ada beberapa kelompongan, biasanya ada ruang untuk rayuan.
“Tetapi dalam kes ini, kerana mandamusnya melibatkan rundingan, mungkin ada ruang untuk pertimbangan lain. Pandangan peribadi saya lebih cenderung untuk elak daripada merayu itu sudah saya jelaskan,” katanya.
Anwar turut menegaskan kerajaan MADANI kekal komited dan lebih tegas dalam melaksanakan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan peruntukan kepada Sabah lebih kukuh dan terjamin berbanding sebelum ini.
“Sebab itu saya katakan kempen-kempen mesti berdasarkan fakta. Kalau hanya berdasarkan sentimen untuk marah, ia boleh memerangkap kita sendiri,” katanya.
Terdahulu, Ewon dilaporkan meletak jawatan susulan keputusan AGC untuk meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas kepada Sabah sebelum membuat keputusan sama ada mengemukakan rayuan atau sebaliknya.-BH Online
