Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kebergantungan negara terhadap import keperluan asas masih signifikan walaupun nilai Kadar Sara Diri (SSR) bagi ayam, telur dan sayur tertentu adalah tinggi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Katanya, data itu berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“SSR pada 2023 bagi beras adalah 56.2 peratus dan ayam 90.2 peratus telah mencatatkan sedikit penurunan. Namun, peningkatan positif dapat dilihat bagi daging lembu/kerbau (15.9 peratus) dan susu segar (66.8 peratus).

“Kadar Kebergantungan Import (IDR) bagi daging lembu/kerbau, daging kambing/bebiri, susu segar dan sayur-sayuran terpilih seperti cili telah menunjukkan trend penurunan. Namun, masih terdapat peningkatan IDR dicatatkan bagi beras, ayam dan sayur-sayuran terpilih seperti bayam dan bendi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta kementerian menyatakan sejauh mana tahap keterjaminan makanan negara pada masa ini, sekiranya berlaku sesuatu tidak diingin seperti sekatan import membabitkan barangan asas.

Berdasarkan laporan Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022 dikeluarkan oleh Economist Impact, Mohamad berkata keterjaminan makanan Malaysia berada pada tahap sederhana dengan skor 69.9.

Sekiranya berlaku cabaran luar seperti sekatan import makanan, katanya SSR dan IDR akan digunakan pakai sebagai indicator pengukuran.

Pada masa ini, katanya status stok fizikal beras negara sehingga 21 Oktober lalu merekodkan 1,190,308 tan metrik meliputi 990,308 tan metrik stok dagangan dan 200,000 tan metrik stok penimbal beras negara.

Beliau berkata jumlah ini adalah mencukupi bagi menampung keperluan negara untuk tempoh sekitar 5.95 bulan.

“Sehingga Oktober 2025, unjuran pengeluaran ayam adalah sebanyak 70.65 juta ekor di ladang adalah kekal stabil bagi menampung keperluan semasa negara,” katanya.-BH Online