Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui jumlah belia di negara ini yang terjebak dengan aktiviti perjudian dalam talian pada tahap agak tinggi.

“Perjudian haram dalam talian melibatkan belia… Yang ini memang tinggi juga. Tapi data saya tak ada sekarang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berhubung usaha KBS sama ada bercadang untuk meningkatkan kuasa undang-undang bagi membendung risiko penipuan dan manipulasi dalam sukan elektronik atau e-sukan.

Mengenai usaha mempromosikan e-sukan di sekolah yang dikhuatiri menyumbang kepada penagihan gajet dalam kalangan murid, Yeoh berkata pihaknya mengambil dasar sangat konservatif.

Beliau dalam masa sama mengakui isu ketagihan gajet dan penggunaan berlebihan dalam kalangan murid kekal menjadi kebimbangan.

“Justeru kawalan dan bimbingan bermula dari rumah oleh ibu bapa agar minat terhadap e-sukan dapat diuruskan secara seimbang. Setakat ini, tiada promosi secara aktif dilaksanakan (di sekolah) sama ada oleh KBS atau Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

Selain itu, Yeoh berkata pihaknya juga menjalankan beberapa sesi libat urus bersama KPM menerusi Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Keseniaan.

Hasil libat urus itu, beliau berkata KBS menyediakan kertas cadangan dan draf garis panduan pelaksanaan e-sukan di sekolah.

Mulai tahun depan, KPM menilai dan memberikan sokongan kepada penganjuran e-sukan oleh agensi luar yang melibatkan murid, bagi tujuan pengiktirafan markah, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum.

“Sokongan ini akan diberikan hanya kepada penganjur yang menggunakan judul permainan yang telah diluluskan, berdasasrkan senarai yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penilai Judul Permainan.

“Jawatankuasa ini turut melibatkan unit psikologi dan kaunseling dari Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan setiap judul serta kandungan permainan agar sesuai dengan konteks pendidikan, selain tidak menjejaskan kesejahteraan murid,” katanya.-BH Online