BUKIT MERTAJAM: Jajaran projek transit aliran ringan (LRT) laluan Mutiara yang semakin panjang dari bahagian pulau hingga menyeberangi Seberang Perai akan menyebabkan kos pembinaan semakin mahal.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ketika rundingan awal pelaksanaan LRT itu, ia ingin dilaksanakan hanya di bahagian pulau sebelum Kerajaan Pusat memutuskan mengambil alih projek itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jajaran disambung hingga ke Seberang Perai.
“Perdana Menteri mengarahkan LRT ini disambung sampai ke Penang Sentral, ketika saya berbincang dengan beliau (rundingan awal), saya tak berani minta tambahan kos.
“Saya tiada masalah jajaran projek ini ditambah, malah sebagai Menteri Pengangkutan lagi panjang lagi bagus, cuma selalunya Menteri Kewangan tidak bersetuju (kos) sebab lebih panjang, harga lebih mahal,” katanya berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian di hadapan lebih 700 perwakilan yang hadir bagi menyangkal pandangan segelintir ahli politik pembangkang termasuk Ahli Parlimen dari Pulau Pinang yang menyatakan projek LRT tidak diperlukan rakyat Pulau Pinang sedangkan ia dinantikan sejak lebih 10 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau terkilan dengan Ahli Parlimen dari Pulau Pinang yang sepatutnya menyokong projek itu demi kebaikan rakyat, namun menolaknya dengan alasan ia tidak diperlukan.
“Apabila ada LRT menghubungkan Perai dengan pulau, ini akan mengintegrasikan ekonomi, sekali gus menaikkan seluruh infrastruktur,” katanya.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci sama ada memanjangkan jajaran LRT di kawasan Seberang Perai yang lain.
“Kita kena buat kajian menyeluruh (panjangkan jajaran ke kawasan Seberang Perai lain). Untuk fasa pertama ini, perancangan ialah selain laluan di pulau, akan menghubungkan ke Penang Sentral dan selebihnya untuk fasa kedua (kita lihat dulu),” katanya.
Untuk rekod, anggaran asal kos pelaksanaan projek LRT Bayan Lepas di Pulau Pinang adalah RM10 bilion pada 2016, berdasarkan jajaran dari Pulau Silikon ke Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).
Bagaimanapun, Kerajaan Pusat pada awal 2024 membuat keputusan mengambil alih projek itu, yang kini dikenali sebagai LRT Laluan Mutiara, dengan jajaran dilanjutkan dari Macallum ke Penang Sentral membabitkan kos RM16.8 bilion
Perdana Menteri dalam lawatan kerjanya di Pulau Pinang semalam meminta pembangkang sentiasa mengikuti perkembangan semasa berhubung kos projek LRT Laluan Mutiara susulan pandangan diberikan segelintir mereka seolah-olah ‘lepas cakap’ sedangkan perkara itu diperincikan dari semasa ke semasa.
Anwar menegaskan pertambahan kos berlaku kerana beliau mengusulkan LRT itu menyeberangi Seberang Perai.-BH Online
