KUALA KANGSAR: Negeri Perak mencatatkan pelaburan bernilai RM6.25 bilion melibatkan 203 projek yang berpotensi menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan setakat Jun lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, angka itu menunjukkan peningkatan 105 peratus dari segi nilai pelaburan dan 224 peratus dari segi penjanaan pekerjaan berbanding tempoh sama pada 2024.
“Maka teranglah bahawa para pelabur menaruh yakin kepada ekosistem pelaburan negeri yang kian tegap – ibarat sauh berpaut kukuh di dasar samudera, tetap teguh meski digoncang badai,” katanya.
Beliau memaklumkan demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-69 Sultan Perak di Istana Inskandariah di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.
Saarani berkata, seiring dengan pertumbuhan tersebut, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 67.4 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 65.6 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, kadar pengangguran negeri pula menurun kepada 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 3.4 peratus dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Katanya di bawah rolling plan pertama, Rancangan Malaysia Ke-13, sebanyak 466 projek bernilai RM1.84 bilion telah diluluskan di seluruh negeri meliputi infrastruktur asas, kemudahan sosial, pendidikan, kesihatan dan pembangunan industri.
Antara tumpuan utama termasuk kerja menaik taraf Lebuhraya PLUS dari Slim River ke Ipoh Selatan, pembangunan Perak Halal Industrial Park di Manjung dan pembinaan Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan – kesemuanya diunjur memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Pada masa yang sama, limpahan manfaat Belanjawan 2026 turut menyantuni Negeri Perak melalui kesinambungan projek berimpak tinggi antaranya peluasan KIGIP (Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian) yang akan memperkukuh ekosistem industri hijau di utara negeri serta pengembangan LuMIC (Bandar Perindustrian Maritim Lumut) sebagai pemangkin sektor maritim serantau,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pada tahun lalu meningkat kepada 4.4 peratus pada 2024 daripada 2.7 peratus pada 2023 dengan nilainya melonjak kepada RM86.2 bilion berbanding RM82.6 bilion pada tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan ini disokong kekuatan sektor perkhidmatan dan pembuatan, masing-masing naik 63.3 peratus dan 19.4 peratus, diikuti pertanian 14 peratus manakala sektor pembinaan dan perlombongan, mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus dan 0.6 peratus – menunjukkan makmurnya negeri dan gigihnya rakyat berikhtiar membangun kehidupan.
“Arakian, sukacita patik menyembah maklum, menghampiri keluk terakhir tahun 2025, kedudukan kewangan negeri juga semakin mengukuh dengan kutipan hasil setakat 7 November lalu telah mencecah RM1.1 bilion – cerminan kerajaan Paduka Seri Tuanku sedang belayar di haluan yang betul untuk mencapai RM1.4 bilion yang disasarkan,” katanya.
Katanya, angka tersebut dijangka memadam unjuran defisit sebanyak RM81.8 juta dalam Belanjawan 2025, sekali gus akan merekodkan sekali lagi lebihan untuk empat tahun berturut-turut.-BERNAMA
