Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua agensi dan jabatan kerajaan termasuk syarikat pengendali yang terbabit dalam projek berkaitan infrastruktur mempercepatkan proses pembinaan demi menjaga kepentingan rakyat serta ekonomi negara.

Anwar berkata, prestasi Malaysia yang dikenali dunia membuka banyak peluang pelaburan ke negara ini, yang memerlukan prasarana yang dipertingkatkan kerana infrastruktur adalah jaminan diberi keutamaan oleh pelabur.

“Maknanya, (ini satu) keperluan kerajaan persekutuan mengatur dasar dan kerjasama (bersama) kerajaan negeri yang progresif dan cekap. Ini membantu sebenarnya. Jadi saya harap kita jaga keamanan dan jaga kepentingan negara dan kepentingan rakyat.

“Tidak banyak negara yang mampu capai apa yang kita lakukan. Kita tidak pernah sempurna, malah saya tidak pernah mengaku kita ini sudah sempurna.

“Kalau memang (ada) kelemahan harus kita betulkan. Kelewatan tidak harus berlaku dan perlu dipercepatkan.

“(Sebab itu) kita membantah (keras) rasuah (yang menjadi punca kepada kelewatan) dan ia masih berlaku. Kita (kerajaan) bagi amaran dan bagi laluan sepenuhnya kepada SPRM (Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia), polis, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) jalan kerana itu tanggungjawab mereka. 

“Jadi, kita dapat kumpul dana yang besar, menyelamatkan negara dari ketirisan dan pemborosan dan rasuah. Jadi agendanya belum selesai,” katanya berucap pada

Majlis Pecah Tanah bagi Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD), Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, projek penyuraian trafik bagi mengatasi kesesakan itu antara yang diperlukan dan dinantikan rakyat sejak sekian lama bukan saja Pulau Pinang tetapi negeri-negeri utara lain termasuk Kedah.

“Saya harap dengan majlis seperti ini yang menunjukkan kepentingan infrastruktur dari segi keselesaan rakyat. Itu yang utama.

“Keselesaan rakyat dari segi pengangkutan lebuh raya dan dapat menyakinkan yang saya nak sebut mengenai Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di daerah Kerian, yang pakar kita bila berunding dengan pelabur, nyatakania kata ada pelabuhan di Pulau Pinang, lapangan terbang tetapi jalan raya sesak.

“Jadi pelabur dia bangkitkan isu ini (kesesakan trafik) pada masa itu saya kata saya bagi jaminan yang kita akan selesaikan dan hari ini Alhamdullillah peringkat pertama dah selesai,” katanya. 

Untuk rekod, projek PTJSD yang menelan kos dianggarkan RM3 bilion sepanjang 17.3 kilometer(km) bertujuan untuk menyuraikan trafik bagi menyelesaikan isu kesesakan setempat yang mengganggu ekonomi negara, khususnya di utara Semenanjung Malaysia.

Masalah kesesakan trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua telah lama menjadi keluhan pengguna dan penduduk setempat kerana keadaan jalan yang kritikal.

Projek itu adalah antara inisiatif penting untuk menangani isu kesesakan terbabit, khususnya pada waktu puncak, musim cuti serta tempoh perayaan.-BH Online