KUALA LUMPUR: Menteri Digital, Gobind Singh Deo, hari ini membidas kenyataan Ahli Parlimen pembangkang berhubung dakwaan bahawa kedaulatan digital Malaysia terjejas susulan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Amerika Syarikat (AS)-Malaysia.
Beliau ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini meminta Ahli Parlimen berkenaan membaca artikel yang termaktub dalam ART.
“Pasir Mas, saya meminta Pasir Mas baca baik-baik artikel-artikel berkaitan dalam (ART).
” ‘Agreement’ (perjanjian) bukan bermaksud ‘consult’ (runding). Itu perkataan asas. Saya tak faham kenapa di sana (pembangkang) tidak boleh faham bahasa mudah. Asyik nak bawa (isu ini).
“‘Read the document carefully’ (Baca dokumen dengan teliti). Fahamlah kita sekarang memerintah Malaysia, kita faham aspek kedaulatan dan kita bawa bincang (perkara ini) berkali-kali,” katanya.
Terdahulu Ahmad Fadhli mempersoalkan sama ada ART dengan AS akan menyebabkan Malaysia kehilangan kedaulatan digital dan sekadar menjadi makmal algoritma untuk syarikat gergasi asing.
“Soalan saya, adakah kerajaan benar-benar mahu negara kita, sebagai sebuah negara AI menjelang 2030, berdepan kekangan yang terkandung dalam perjanjian ART ini? Adakah ia bermakna kita menyerahkan kunci kedaulatan digital negara dan hanya menjadi makmal algoritma kepada syarikat teknologi AS?” soalnya.
Gobind dengan tegas meminta Ahmad Fadhli membaca dokumen ART dengan teliti.
“Kita faham kerajaan yang mentadbir Malaysia ialah kita. Kita faham maksud kedaulatan. Jemaah Menteri sudah membincangkan perjanjian itu berkali-kali di Kabinet dan meneliti semua aspeknya.
“Soalan yang saya jawab hari ini berkaitan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI Safe) dan perbincangan saya bersama menteri digital ASEAN yang lain.
“Ya, memang ada perbincangan, tetapi soalan yang dilontarkan itu seolah-olah tiada perbincangan. Apa yang kamu cakap ini? Langsung tidak faham?” katanya.
Dalam pada itu, Gobind menyifatkan politik di negara ini mempunyai had seperti diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya bersetuju dengan Tambun (Perdana Menteri). Politik ada hadnya. Kita mahu lakukan yang terbaik untuk negara. Baca dokumen itu betul-betul.
“Tanyalah soalan yang cerdik, saya boleh jawab… Tetapi kalau ulang perkara sama berulang kali… sampai bila?
“Marilah kita bina negara ini bersama. Namun, saya lihat pihak di sebelah sana enggan menerima hakikat bahawa terma dalam perjanjian itu jelas menyatakan ia tidak menyekat atau menyerahkan kedaulatan kita kepada sesiapa,” katanya.
Terdahulu, Gobind menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH–Bandar Kuching) yang meminta kerajaan menyatakan secara terperinci rancangan untuk merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030.
Gobind menjelaskan, pelan pelaksanaan sedang digerakkan melalui Rancangan Malaysia KE-13 (RMK13), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), National Energy Transition Roadmap (NETR), New Industrial Master Plan (NIMP) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 sebagai dokumen rujukan utama.
Ia bagi menetapkan sasaran utama berikut iaitu sumbangan ekonomi digital mencapai 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menjana sehingga 500,000 pekerjaan baharu berkemahiran tinggi.-BH Online
