KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat menilai dan meneliti semula keperluan perubahan dasar dalam Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial (PKS) sebelum membentangkannya di Parlimen.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata perkara dasar yang akan dipinda termasuk pemakaian penuh undang-undang terbabit kepada pengamal kerja sosial di sektor awam, berbanding cadangan hanya kepada perkhidmatan swasta sebelum ini.
Beliau berkata, RUU PKS itu bertujuan mewujudkan satu penstrukturan yang jelas bagi pekerja sosial di negara ini.
“Antara penetapan dasar dalam RUU itu adalah ia akan terpakai kepada semua pengamal kerja sosial di sektor swasta dan penjawat awam yang mengamalkan kerja sosial di luar tugas rasmi kerajaan.
“Ketetapan itu dibuat berdasarkan hasrat kerajaan untuk memenuhi pandangan semua pihak sebaik mungkin termasuk input dan pandangan pihak berkepentingan.
“Ia antaranya kementerian, agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, syarikat korporat, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui beberapa siri sesi libat urus yang diadakan berkaitan draf RUU PKS,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta menteri menyatakan mekanisme untuk memastikan RUU PKS mengawal selia dan mengikhtisaskan golongan pekerja sosial sektor awam.
Pada masa sama, Nancy berkata, kementerian juga mengadakan sesi libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat dengan pelbagai maklum balas diterima.
Beliau berkata, ia termasuklah isu yang membabitkan penetapan dasar RUU terbabit antaranya definisi kerja sosial itu sendiri serta persoalan pemakaian akta berkenaan kelak kepada pengamal kerja sosial di sektor awam dan sektor swasta.
“Oleh yang demikian, pilihan terbaik diambil kementerian pada masa ini adalah untuk menilai semula dan meneliti keperluan perubahan dasar dan kebolehlaksanaannya kelak.
“Sesi libat urus lanjut dengan semua pihak berkepentingan antaranya agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang mempunyai perjawatan kerja sosial, perlu diadakan semula sekiranya kerajaan berhasrat untuk meminda perkara dasar dalam RUU PKS ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Rodziah mengenai cadangan penubuhan Majlis Profesion Pekerja Sosial di negara ini, Nancy berkata ia akan diteliti untuk dimasukkan ke dalam RUU berkenaan.
Julai lalu, Nancy dilaporkan berkata RUU PKS dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya akhir tahun ini.-BH Online
