Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengarahkan siasatan segera dimulakan terhadap tindakan Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok yang menaikkan tambang sehala perjalanan Menumbok ke Labuan sebanyak RM3, berkuat kuasa 1 November lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata arahan itu dikeluarkan susulan aduan yang diterima daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Sabah, Datuk Limus Jury.

Dalam kenyataannya hari ini, Armizan menegaskan KPDN memandang serius kenaikan harga tambang itu kerana ia memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat, terutamanya pengguna harian yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan tersebut.

Siasatan Anti-Persaingan dan Status Subsidi Kementerian sudah mengambil dua tindakan utama melalui bahagian dan agensinya.

“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diarahkan memulakan penyiasatan dari aspek amalan anti-persaingan.

“Menurut Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), sebarang persetujuan antara perusahaan untuk menetapkan harga, tambang, atau surcaj melalui pakatan (kartel) adalah perlakuan serius,” katanya.

Jika sabit kesalahan, syarikat yang terbabit boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada kutipan hasil syarikat.

KPDN melalui MyCC mempunyai rekod mengenakan penalti kewangan sebanyak RM687.9 juta terhadap 270 syarikat yang terbabti dalam aktiviti kartel dan juga monopoli bermasalah termasuk lima syarikat feri RORO di Langkawi yang dikenakan penalti kewangan berjumlah RM2.2 juta. 

Sektor Barang Kawalan dan Subsidi (SBKS) KPDN sedang merujuk kepada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan untuk menentukan status perlesenan dan pendaftaran pengusaha bot laju terbabit.

Armizan berkata, pengusaha bot pengangkutan awam berdaftar layak dipertimbangkan subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang dikawal selia KPDN.

“Oleh itu, adalah tidak wajar bagi pengusaha bot terbabit untuk menaikkan harga tambang dengan alasan kenaikan kos bahan api, memandangkan kemudahan subsidi disediakan oleh kerajaan,” katanya.

KPDN tidak akan berkompromi terhadap perlakuan sabotaj ekonomi melalui kartel seperti ini yang bukan sahaja menyentuh kepentingan pengguna tetapi juga pemain-pemain industri yang bergantung kepada perkhidmatan bot laju. 

Beliau menegaskan KPDN kekal komited untuk memastikan pasaran kekal kompetitif, sihat dan telus demi kesejahteraan pengguna dan kestabilan ekonomi negara.-BH Online