KUALA LUMPUR, 6 November – Penganjuran Borneo Arts Festival (BAF) 2025 dijangka memberi limpahan ekonomi berganda kepada penduduk Labuan dan dijangka menjana nilai tambah kasar sebanyak RM10.3 juta, berdasarkan purata hasil daripada penganjuran terdahulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, BAF 2025 bukan sahaja menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara, malah memberi manfaat secara langsung kepada peniaga kecil, pengusaha inap desa, peniaga kampung serta kontraktor tempatan.
“Lebih penting, kerajaan menitikberatkan limpahan ekonomi berganda kepada rakyat Labuan melalui penganjuran acara berskala besar seperti ini. Impak ekonomi yang dijana menerusi perbelanjaan langsung pelancong memberi manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha inap desa, peniaga kampung serta kontraktor tempatan, sekali gus merancakkan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman berkenaan strategi serta pelan tindakan kerajaan dalam usaha menjadikan penganjuran BAF diiktiraf sebagai salah satu program bawah kluster pelancongan Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA).
Selain itu beliau turut menjelaskan berhubung pulangan ekonomi dan manfaat jangka
panjang kepada komuniti setempat di Wilayah Persekutuan Labuan susulan penganjuran BAF2025.
Penganjuran berterusan juga dijangka memperkukuh jenama produk LAWA LABUAN yang menampilkan hasil kraf unik seperti batik linut dan subang manik bermotifkan khas Borneo.
Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan terus bekerjasama dengan Perbadanan Labuan (PL) dalam merangka lebih banyak program pelancongan berimpak tinggi serta menjenamakan semula Labuan sebagai destinasi pelancongan utama serantau bawah inisiatif Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA).-Berita RTM
