GEORGE TOWN, 6 November – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperluas Sistem Maklumat Pergigian (DIS) bagi meningkatkan kecekapan dan keseragaman perkhidmatan pergigian di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam era Kecerdasan Buatan (AI), sektor kesihatan turut melangkah seiring melalui pelbagai inisiatif pendigitalan memandangkan pendigitalan bukan sekadar soal sistem, tetapi cara kerja baharu yang lebih cepat, tepat dan berpusatkan pesakit.
Oleh itu, teknologi AI dan Percetakan 3D kini turut digunakan dalam pembuatan prostesis gigi, mempercepat rawatan dan meningkatkan ketepatan hasil.
“Setakat tahun ini, 71 klinik pergigian telah menggunakan sistem DIS dan menjelang hujung tahun 2027, sebanyak 956 klinik disasar beroperasi secara digital sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan bersempena Lawatan Rasmi dan Sesi Ramah Mesra Menteri Kesihatan bersama Warga Pusat Pergigian Kanak-Kanak dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (Pergigian) di sini.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan penyakit seperti karies gigi dan penyakit gusi kini terbukti mempunyai kaitan rapat dengan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung.
Sehubungan itu, KKM akan terus memperkukuh inisiatif pencegahan dan pendidikan kesihatan mulut, antaranya menerusi Program Kesihatan Pergigian Sekolah yang mendidik amalan penjagaan gigi sejak awal usia dan perkhidmatan pergigian komuniti melalui klinik dan unit bergerak.
Selain itu, kempen gaya hidup sihat yang menggalakkan pengurangan gula, menghentikan penggunaan vape serta pemeriksaan pergigian berkala juga akan diperkukuh.-Berita RTM
