KUALA LUMPUR, 5 November – Malaysia mencatat kemajuan memberangsangkan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan unjuran pencapaian 49 peratus menjelang 2030, jauh mengatasi purata global 18 peratus.
Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau pada Rabu.
“Namun di sebalik angka positif ini, masih banyak yang harus kita tangani khususnya terkait 10 Fokus Utama SDG negara, daripada isu malpemakanan kanak-kanak, kesihatan mental, pengurusan murid berkeperluan khas hinggalah peluang pekerjaan buat golongan orang kurang upaya.
“Saya tegaskan bahawa usaha ini menuntut kerjasama semua pihak merentasi Kerajaan Persekutuan, negeri, swasta dan masyarakat sivil agar tiada insan yang tersisih daripada arus pembangunan negara,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan MADANI kekal komited terhadap agenda SDG yang bergerak seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 untuk menuju kemajuan yang terangkum, mampan serta sejahtera demi masa depan anak-anak dan tanah air.-Berita RTM
