Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) pada peringkat dasar selepas dibahaskan sejak 13 Oktober lalu. 

Terdahulu, pihak pembangkang yang diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menggunakan peraturan mesyuarat 46 (4) untuk mengadakan undi belah bahagian.

Ia dilakukan sejurus sesi penggulungan RUU itu selesai oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sebelum dibenarkan Speaker Dewan Rakyat.

Perkara itu dipersetujui Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, apabila lebih 15 Ahli Parlimen daripada blok pembangkang bangkit bersetuju undi belah bahagian diadakan.

Sidang Dewan rakyat kemudian ditangguhkan selama lima minit bagi membolehkan Ahli Parlimen kedua-dua blok masuk ke dewan untuk mengundi.

Namun, hasrat pembangkang menggagalkan RUU Perolehan Kerajaan 2026 tidak berhasil apabila undi belah bahagian yang dijalankan tidak memihak gabungan itu.

Mengikut undian, sejumlah 120 Ahli Parlimen mengundi bersetuju dengan RUU berkenaan untuk diluluskan pada bacaan kali kedua, dengan 67 mengundi sebaliknya, manakala 35 ahli tidak hadir seorang tidak mengundi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu.-BH Online