PUTRAJAYA: Alumni sekolah yang sudah berjaya digalak kembali dan menyumbang semula kepada sekolah mereka sebagai tanda penghargaan bagi membantu kesinambungan kejayaan institusi pendidikan itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kehadiran alumni di sekolah dilihat sebagai langkah empowerment yang perlu menjadi teras untuk memperteguhkan legasi sekolah masing-masing.
Beliau berkata, peranan alumni dilihat penting untuk menjadi pencetus kepada kejayaan sekolah melalui khidmat dan sumbangan diberikan semula kepada institusi terbabit.
“Golongan alumni sekolah perlu kembali menyumbang tenaga, kepakaran dan sokongan kepada sekolah mereka bagi memperkukuh legasi pendidikan serta mengangkat semula peranan sekolah yang menjadi milik masyarakat.
“Inisiatif ini selaras pendekatan Kerajaan MADANI yang menggalakkan komuniti berperanan aktif dalam pembangunan sekolah, bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Jadi, alumni boleh memperteguh legasi sekolah kerana kebanyakan alumni kini sudah berjaya dalam pelbagai bidang dan boleh kembali menyumbang pengalaman, bimbingan serta bantuan sumber,” katanya kepada BH, semalam.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal yang diketuai Penasihatnya, Datuk Mohamed Amin Mohd Kassim dan Pengerusinya, James Prabagaran.
Fadhlina berkata, sekolah yang mempunyai legasi kuat lazimnya disokong alumni yang aktif.
Beliau berkata, ada alumni kembali sebagai ahli PIBG dan sebahagiannya membantu melalui jaringan industri, malah ada juga yang menubuhkan yayasan atau dana khas untuk sekolah lama mereka.
“Kehadiran mereka dilihat mampu menyelesaikan masalah di sekolah itu yang tidak hanya diserahkan kepada KPM saja. Ini menjadi hasrat kita untuk semua pihak menyokong sekolah, pelajar dan guru dalam pelbagai aspek, khususnya dalam membangunkan sahsiah,” katanya.-BH Online
