KUALA LUMPUR: Peratusan murid yang menunjukkan tanda awal kemurungan dan kebimbangan didapati menurun dalam tempoh tiga tahun, berdasarkan Saringan Minda Sihat yang dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM) dari sesi persekolahan 2022/2023 hingga 2024/2025.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan bagi sekolah rendah, peratus murid yang berisiko menunjukkan tanda awal kemurungan menurun daripada 36.42 peratus bagi sesi 2022/2023 kepada 35.50 peratus bagi sesi 2023/2024.
Ia seterusnya susut lagi kepada 6.18 peratus (2024/2025) dan 5.39 peratus sehingga September 2025.
Fadhlina berkata, bagi tanda awal kebimbangan, peratusan murid sekolah rendah menurun daripada 6.52 peratus (2022/2023) kepada 6.23 peratus (2023/2024), 6.69 peratus (2024/2025) dan 5.75 peratus sehingga September 2025.
Sementara itu, bagi sekolah menengah, beliau berkata, peratus murid yang berada pada tahap sangat teruk bagi tanda awal kemurungan menurun daripada 2.21 peratus bagi sesi 2022/2023 kepada 1.72 peratus (2023/2024), 0.91 peratus (2024/2025) dan 0.8 peratus sehingga September 2025.
Bagi tanda awal kebimbangan yang sangat teruk, peratusan menurun daripada 4.83 peratus (2022/2023) kepada 3.57 peratus (2023/2024), 2.21 peratus (2024/2025) dan 2.01 peratus sehingga September 2025.
“Penurunan ini membuktikan keberkesanan pengesanan awal, program sokongan psikososial dan intervensi berfokus yang dilaksanakan di sekolah.
“Usaha ini selari dengan pendekatan pencegahan berterusan bagi memastikan kesejahteraan murid terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai statistik masalah kesihatan mental dalam kalangan murid bagi tempoh lima tahun kebelakangan.
Ini berikutan dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan 7.9 peratus (424,000) murid terjejas, selain rancangan kerajaan bagi mewujudkan pemeriksaan kesihatan mental secara berkala di sekolah.
Saringan Minda Sihat dilaksanakan KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) setiap tahun kepada semua murid Tahun Lima hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.
Ia sebagai langkah pengesanan awal bagi mengenal pasti murid yang berisiko mengalami masalah kesihatan mental, seperti tanda awal kemurungan dan kebimbangan.
Mengulas lanjut, Fadhlina. berkata KPM kini melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah, bertujuan memperkasa psikososial, menyokong kesejahteraan sosioemosi murid dan memberi intervensi kepada murid yang dikenal pasti.
Program berkenaan merangkumi strategi, seperti promosi minda sihat, saringan minda sihat, intervensi minda sihat, konsultasi ibu bapa/penjaga dan kerjasama dengan pelbagai agensi awam serta swasta.
“Saringan Minda Sihat dilaksanakan sekali setahun kepada semua murid Tahun Lima hingga Tingkatan Enam.
“Bagi murid yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan mental yang teruk dan sangat teruk, saringan dilakukan dua kali setahun,” katanya.
Fadhlina menegaskan, KPM kekal komited untuk memastikan kesejahteraan murid melalui pelbagai program kesedaran, kaunseling dan intervensi supaya isu kesihatan mental dapat ditangani secara berkesan.-BH Online
