Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menaikkan had kelayakan program Budi Madani (BUDI95) bagi pemandu e-hailing yang layak kepada hingga 800 liter sebulan, tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas pemandu e-hailing yang berasakan jumlah semasa 600 liter masih belum mencukupi untuk menampung kos operasi mereka.

“Untuk Oktober, (subsidi pemandu) e-hailing aktif kita naikkan daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan untuk 58,000 pemandu aktif yang layak. 

“(Bagaimanapun), ada lagi rakan-rakan di e-hailing merasakan (jumlah berkenaan) belum mencukupi. 

“Jadi sekarang, kita mengkaji kalau betul ada rekod dan keperluan, maka kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan budi 95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan ,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kemajuan bulan pertama pelaksanaan program BUDI95. 

Syerleena juga ingin tahu apa tindakan yang kerajaan ambil dalam menyelesaikan isu berbangkit terutamanya membabitkan golongan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-hailing dan pengguna bot sungai berhubung kelayakan mereka di bawah BUDI95. 

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju agar teksi lapangan terbang disenaraikan sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah skim kawalan petrol bersubsidi (SKPS).

“Selain itu, kerajaan turut memperluaskan kemudahan BUDI95 kepada nelayan yang tidak memiliki lesen memandu dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kerajaan Sabah dan Sarawak. 

“Setakat 31 Oktober lalu, sebanyak 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu sudah diluluskan untuk menerima BUDI95,” katanya. 

Seramai 13.1 juta rakyat melakukan transaksi di bawah program BUDI95 dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM2.66 bilion dalam bulan pertama pelaksanaannya bermula 30 September lalu hingga 31 Oktober lalu.-BH Online