Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang bagi memberi laluan kepada urusan perbahasan lain yang masih berlangsung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan sedang giat dijalankan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bagi memperkukuh kefahaman dan ketelusan pelaksanaan RUU berkenaan.

“Sementara memberi laluan kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan untuk mengadakan libat urus lanjut dengan pihak-pihak berkaitan bagi membentuk kefahaman yang lebih menyeluruh, kita beri laluan terlebih dahulu kepada RUU lain.

“Untuk bacaan kali kedua, tidak dibentangkan pada sesi kali ini dan akan dibawa pada sesi yang akan datang”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Nasional MADANI, Penjagaan Spiritual Islam 2025 di ibu negara.

Konvensyen itu menghimpunkan pelbagai agensi dan institusi Islam bagi memperkasa kefahaman masyarakat terhadap penjagaan spiritual secara menyeluruh yang berpaksikan nilai Islam.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail.

Terdahulu, perbahasan bagi meluluskan RUU berkenaan ditangguhkan beberapa kali sejak dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu.

Ia menjelaskan peranan mufti sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam urusan berkaitan hukum Islam, juga memperuntukkan penubuhan beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal serta Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang akan dipengerusikan oleh mufti.-Berita RTM