Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan meletakkan industri kopi di bawah Lembaga Koko Malaysia (LKM) buat masa ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sebaliknya, kata beliau, tumpuan diberikan kepada memperkukuhkan rantaian nilai sedia ada (industri kopi) di bawah penyeliaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

“Walaupun terdapat persamaan antara koko dan kopi sebagai tanaman industri, (namun) kedua-dua sektor ini mempunyai rantaian nilai, keperluan pasaran dan strategi pembangunan yang berbeza. 

“Oleh itu, buat masa ini, kementerian berpandangan bahawa tiada keperluan untuk meletakkan industri kopi di bawah LKM,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab berhubung syor diberikan oleh Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai cadangan untuk meletakkan industri kopi di bawah LKM.

Difahamkan sebelum ini, KPM diperuntukkan sebanyak RM4.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi membangunkan kawasan kopi seluas 300 hektar membabitkan 270 orang petani.

Bagi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pula, sebanyak RM5 juta lagi disediakan bagi pembangunan kawasan baharu seluas 300 hektar dengan peruntukkan RM1.5 juta bagi 2026 khususnya dalam memperkukuhkan industri koko.-BH Online