KUALA LUMPUR: Malaysia bersama masyarakat antarabangsa menuntut supaya gencatan senjata dilaksanakan serta-merta di Sudan bagi menghentikan segera keganasan terhadap rakyat negara itu, termasuk dibunuh dan menderita akibat kebuluran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pada masa sama, Malaysia turut mendesak rapid Support Force (RSF) membuka laluan kemanusiaan supaya bantuan dan bekalan dapat disalurkan kepada penduduk di El Fasher dan semua kawasan yang terjejas di wilayah Darfur.
Mohamad berkata, seluruh dunia sedang menyaksikan kekejaman RSF yang terus melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Sudan dan mencetuskan salah satu krisis perpindahan serta kebuluran terbesar di dunia.
“Skala kekejaman yang dipertontonkan amat menjijikkan dan seperti yang ditunjukkan dalam imej satelit, yang memperlihatkan darah membasahi bandar El Fasher, adalah kekejaman sebenar terhadap seluruh kemanusiaan.
“Keadaan ini benar-benar tidak dapat diterima sama sekali. Tindakan ganas yang tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan segera.
“Dunia tidak boleh membiarkan berlakunya semula pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Darfur. Kita tidak boleh membenarkan babak paling gelap dalam sejarah berulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Menteri Negara bagi Kebajikan Sosial Sudan, Salma Ishaq, mendakwa kumpulan separa tentera RSF membunuh 300 wanita dalam tempoh dua hari pertama selepas memasuki bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara di barat Sudan.
Ishaq, dalam satu kenyataan, berkata wanita berkenaan turut menjadi mangsa serangan seksual, keganasan dan penyeksaan.
Pada 26 Oktober lalu, RSF merampas kawalan ke atas El-Fasher dan melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap orang awam, menurut pertubuhan tempatan dan antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian wilayah Sudan secara geografi.
Rabu lalu, pemimpin RSF, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) mengakui bahawa ‘pelanggaran’ dilakukan oleh pasukannya di El-Fasher, sambil mendakwa jawatankuasa siasatan sudah ditubuhkan.
Tentera Sudan dan RSF terbabit dalam peperangan sejak 15 April 2023.-BH Online
