Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dakwaan kononnya pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia dengan Amerika Syarikat sebagai tindakan menggadai dan memudaratkan negara, adalah satu pembohongan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tuduhan itu bersifat politik semata-mata.

“Soal halal yang simple dia kata diserah kepada kerajaan Amerika. Kerajaan Amerika tidak ada unit halal, hanya bergantung kepada majlis Islam di sana dan saya bagi contoh tadi di Parlimen tentang badan Islam yang mengurus, jadi kita iktiraf badan Islam itu. Itu pun telah dikenalpasti oleh JAKIM.

“Begitu juga tentang penyerahan. Kalau betul kita hanya bagi monopoli sepenuhnya kepada Amerika Syarikat, bagaimana boleh kita tangani FTA dengan negara China?

“Dalam mana-mana rundingan ada give and take, apalagi pelaburannya besar, hubungan dia besar. Tapi kita jaga maruah kita”, katanya.

Menurut Datuk Seri Anwar lagi, beberapa pemimpin ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang ditemuinya menzahirkan kekaguman kepada Malaysia atas keupayaan mengimbangi hubungan dengan kuasa besar Amerika Syarikat dan China.

Kemampuan itu, kata Perdana Menteri, didorong nilai keberanian, kesabaran dan kebijaksanaan mengemudi dunia yang penuh ketegangan serta ketidaktentuan.

Beliau berkata demikian pada sidang media rangkuman hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan.-Berita RTM