Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia mengukir kejayaan di pentas antarabangsa apabila Projek Membina Jambatan Bagan Datuk, Hilir Perak ke Kampung Sejagop, Perak Tengah dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) meraih tempat kedua bagi kategori Jalan untuk Komuniti dalam Anugerah Projek Terbaik MINO (Mino Best Project Award).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kejayaan ini membuktikan keupayaan kejuruteraan Malaysia kini setanding negara maju dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan sekadar kemenangan sebuah projek, tetapi kemenangan seluruh warga kejuruteraan Malaysia.

“la mencerminkan keupayaan dan semangat kita membina infrastruktur yang bukan saja menghubungkan daerah, tetapi menyatukan kehidupan dan memajukan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah berprestij itu diterima daripada Presiden Road Engineering Association of Asia and Australasia (REAAA), Dr Sung-Hwan Kim sempena Persidangan Ke-16 REAAA di Goyang, Korea Selatan, yang berlangsung dari 27 Oktober hingga esok.

Ia bertujuan mengiktiraf projek infrastruktur jalan raya yang memberikan impak besar kepada komuniti daripada segi teknikal, sosial dan ekonomi.

Jambatan Bagan Datuk menghubungkan dua daerah utama di Perak iaitu Hilir Perak dan Perak Tengah yang sebelum ini dipisahkan oleh jarak jauh lebih 67 kilometer dan perjalanan lebih sejam. 

Kini, jarak itu dipendekkan kepada hanya 10 kilometer, mengambil masa kira-kira tujuh minit sahaja.

Nanta berkata kemudahan ini banyak memudahkan urusan harian penduduk, mempercepat penghantaran hasil pertanian dan membuka lebih banyak peluang ekonomi serta pelancongan di kawasan Bagan Datuk.

“Jambatan ini menggunakan sistem jambatan integral dengan laluan bawah khas (box culverf) untuk memastikan penduduk sekitar dapat terus berhubung. 

“la turut dilengkapi lampu navigasi bagi keselamatan kapal dan bot, serta dibina dengan mengambil kira faktor tanah gambut dan alam sekitar pesisir bagi menjamin kelestarian jangka panjang,” katanya.

Selain kejayaan JKR, seorang jurutera profesional negara, Datuk Ir Dr Dennis Ganendra daripada Minconsult Sdn Bhd, turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Hwang iaitu pengiktirafan khas kepada individu yang banyak menyumbang kepada REAAA serta pembangunan kejuruteraan jalan raya serantau.

Nanta berkata, dengan dua pengiktirafan utama REAAA Mino Best Project Award (Kategori Jalan Komuniti) dan REAAA Hwang Award, Malaysia sekali lagi membuktikan kemampuan tenaga kejuruteraan tempatan dalam menghasilkan projek yang berkualiti tinggi, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat.-BH Online