Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Trend bagi jangkitan Influenza menunjukkan penurunan sebanyak 86.1 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-43.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata hanya 30 kes direkodkan pada ME 43, berbanding 216 kes pada ME 41.

Jelas beliau, taburan virus Influenza A (H3) kekal dominan dengan 26.7 peratus, diikuti Influenza A (H1N1) sebanyak 0.6 peratus, manakala Influenza B tidak dikesan.

Bagi virus SARS-CoV-2 pula mencatatkan kadar 0.4 peratus.

“Kadar ILI (Penyakit Seperti Influenza) pada Minggu Epidemiologi (Epid) ke-42 adalah 9.68 peratus tetapi menurun ketara kepada 8.18% pada Minggu ke-43, menunjukkan trend penurunan. Bagi SARI (Jangkitan Saluran Pernafasan Akut Teruk) pula, kadar pada Minggu ke-42 adalah 10.56 peratus, menurun sedikit kepada 10.45 peratus pada Minggu ke-43.”

“Saya ingin tekankan sekali lagi bahawa kebanyakan kes yang dilaporkan hanya melibatkan simptom yang agak ringan atau paling tidak pada tahap sederhana,” kata Datuk Seri Dr. Dzulkefly kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Peralatan Centre of Excellence (CoE) Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), di ibu negara.

Jelasnya, orang ramai turut dinasihat supaya mengamalkan kawalan kendiri pada tahap tinggi bagi mengelakkan penularan.

Ibu bapa juga diminta memantau tahap kesihatan anak dan jika bergejala, segera mendapatkan rawatan susulan.-Berita RTM