Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GYEONGJU, 31 Oktober – Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) harus menjadi penghubung bukan sahaja bagi ekonomi Asia Pasifik, malah memperluas penglibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, langkah itu penting bagi mewujudkan sistem ekonomi dunia lebih adil dan seimbang antara negara maju serta membangun.

“Penyertaan lebih besar daripada ekonomi Amerika Latin dan Afrika, sama ada melalui penglibatan formal atau tidak formal, akan menterjemah agenda APEC kepada sesuatu yang lebih transformatif, inklusif dan benar-benar berimpak. 

“Ini juga boleh menetapkan haluan ke arah seni bina ekonomi lebih adil yang merapatkan jurang antara Utara Global dan Selatan Global,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di sini.

Jelas Perdana Menteri lagi,  APEC terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenal norma ekonomi global.

Ia dilaksana berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan.

Kini, APEC sedang memupuk idea baharu yang menyentuh cabaran masa depan, antaranya pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, selain transformasi digital.

Ia seiring aspirasi Ekonomi MADANI yang membina ekonomi inklusif, berdaya tahan dan mampan demi manfaat rakyat.-Berita RTM