KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-32 yang akan berlangsung di Gyeongju, Republik Korea, selama dua hari bermula Jumaat ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), beliau akan diiringi oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kedua-dua menteri berkenaan turut dijadual menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri APEC ke-36 yang akan diadakan esok.
Penyertaan Malaysia di Gyeongju, susulan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025, mencerminkan komitmen berterusan negara dalam menyelaras keutamaan ekonomi melalui peranan aktif dalam membentuk hala tuju ekonomi serantau.
Selain itu, di sela-sela Mesyuarat APEC, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat, sesi perbincangan bersama pemimpin perniagaan serta pertemuan dengan media, bagi memperkukuh usaha Malaysia dalam bidang perdagangan, pelaburan, inovasi kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan tenaga mampan.
Sementara itu, para pemimpin APEC dijangka mencapai kata sepakat dan mengumumkan Deklarasi Gyeongju, yang merangkumi hasil utama penganjuran APEC Korea, termasuk Inisiatif AI APEC, Rangka Kerja Kolaboratif mengenai Perubahan Demografi, serta Kenyataan Pemimpin mengenai Kerjasama dalam Industri Budaya dan Kreatif (CCI).
Mesyuarat kali ini akan menghimpunkan 21 pemimpin ekonomi APEC bagi merangka strategi bersama ke arah memperkukuh kesalinghubungan, memperluas inovasi dan memacu kemakmuran menyeluruh di rantau Asia-Pasifik.-Berita RTM
