Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Program PATUH di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS Seremban Arah Selatan.
Program itu diharapkan dapat memastikan pemain industri beroperasi mengikut undang-undang, standard dan garis panduan yang telah ditetapkan.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh, terdapat dua inisiatif diperkenalkan pada tahun pertama pelaksanaannya iaitu Zon Persinggahan PATUH (ZPP) melibatkan 20 Kawasan Rehat dan Rawat PLUS dan Pasar (PATUH).
“Inisiatif yang kita mulakan pada tahun ini melibatkan pematuhan di Zon Rehat dan Rawat (R&R) serta pematuhan di pasar basah. Sementara itu, inisiatif-inisiatif lain termasuk pematuhan di pasar raya, restoran, zon pelancongan dan lain-lain.”
“Bagi fasa permulaan ini, sebanyak 20 Zon R&R terlibat, dengan kerjasama rakan-rakan strategik kita seperti PLUS dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” kata Datuk Dr. Fuziah kepada pemberita, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan undang-undang.
“Sekiranya mereka tidak mematuhi mana-mana peruntukan yang termaktub di bawah Akta, maka undang-undang tersebut akan dikenakan ke atas mereka. Namun begitu, KPDN akan memulakan tindakan dengan memberikan nasihat terlebih dahulu.
KPDN akan menasihati mereka tentang perkara yang perlu dilakukan. Kami tidak akan terus mengeluarkan kompaun, dan inilah kaedah kerja yang telah diamalkan oleh bahagian penguatkuasa selama ini,” tambahnya.
Jelasnya, pengguna yang ingin membuat aduan berkaitan kenaikan harga tidak wajar, perlu membuat aduan di saluran rasmi KPDN agar tindakan selanjutnya dapat diambil oleh pegawai penguat kuasa.-Berita RTM
