Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Usaha gigih kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan tunai dan kebajikan berjumlah hampir RM20 bilion tahun ini telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan tegar negara kepada hanya 0.09 peratus, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid di Dewan Rakyat hari ini, beliau menjelaskan kejayaan itu hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan majlis agama Islam negeri dalam mengenal pasti dan membantu isi rumah berpendapatan rendah di seluruh negara.

“Kita ambil STR, kita ambil SARA, kita ambil Jabatan Kebajikan Masyarakat. Itu sudah cecah RM20 bilion. Jadi, ini sekali lagi saya tegaskan peluang saya untuk mengurangkan kesenjangan yang kian melebar antara golongan kaya dengan miskin.

“Umpamanya gaji minimum. Sebab apa kita naikkan gaji minimum dua kali? Dari RM1,200 dulu, naik RM1,500 dan kini RM1,700. Itu untuk mengurangkan miskin relatif seperti disebut dalam laporan DOSM,” ujar Perdana Menteri.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan mengenai peningkatan kecil kadar kemiskinan relatif yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), iaitu daripada 16.6 peratus pada 2022, kepada 16.7 peratus pada 2024, perlu dilihat berdasarkan perubahan paras pendapatan isi rumah semasa.

Tambahnya, angka tersebut menunjukkan penetapan garis pendapatan baharu oleh DOSM selaras dengan peningkatan kos sara hidup, dan bukan petunjuk kepada kemerosotan ekonomi.-Berita RTM