SHAH ALAM, 30 Oktober – Kerajaan akan memperluas instrumen pembiayaan hijau bukan pasaran, Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) bagi menarik penyertaan dan sumbangan sektor swasta di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu bagi membiayai kewangan pelaksanaan aktiviti pemuliharaan, perlindungan hutan dan biodiversiti.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, FCC yang dioperasikan Dana Hutan Malaysia (MFF) itu antara usaha kerajaan menangani perubahan iklim dan memelihara aset alam semula jadi strategik.
“Dalam usaha kerajaan menangani perubahan iklim serta memelihara aset alam semula jadi strategik negara, dua instrumen kewangan inovatif telah dan sedang dibangunkan, iaitu FCC dan Forest Carbon Offset (FCO).
“FCC akan diperluas bagi menggalakkan penyertaan dan sumbangan sektor swasta dalam membiayai keperluan kewangan bagi pelaksanaan aktiviti pemuliharaan serta perlindungan hutan dan biodiversiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Strategi Ketahanan Perubahan Iklim (M-CREST) di Management and Science University (MSU) di sini hari ini.
Kerajaan juga sedang membangunkan instrumen FCO yang direka mengikut keperluan dan spesifikasi tempatan.
“FCO yang berada di fasa akhir pembangunan itu dijadual untuk dioperasikan pada suku pertama tahun depan.
“Ia dihasratkan menjadi instrumen perkreditan karbon negara dan pemacu pembangunan projek karbon selaras pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan yang akan dilancarkan, selain pelengkap kepada inisiatif Cukai Karbon kelak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) sedang digubal bagi mengarusperdanakan agenda perubahan iklim.
Ia akan melibatkan faktor tindakan mitigasi, adaptasi dan memperkukuhkan usaha kelestarian alam sekitar.
“RUUPIN menyokong matlamat Malaysia mencapai Nationally Determined Contribution (NDC) negara dan sasaran pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih pada 2050,” katanya.-Berita RTM
