KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Kerajaan komited memastikan Malaysia bersedia sepenuhnya menghadapi gelombang teknologi kecerdasan buatan atau AI, selaras dengan visi menjadikan negara sebagai AI Nation 2030.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata,kementerian itu memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem yang mampu memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi perkembangan pesat teknologi AI.
Teknologi yang berkembang dengan pantas perlu difahami setiap industri serta menyesuaikan diri dengan perubahan itu bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam transformasi digital global.
“Justeru, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem yang membolehkan Malaysia menyesuaikan diri dengan teknologi baharu seiring dengan peredaran masa.
“Kita perlu berfikir ke hadapan membayangkan bagaimana teknologi akan berkembang dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang dan memastikan infrastruktur negara bersedia apabila teknologi tersebut tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Global Business Services (GBS) ASEAN Summit 2025 di ibu negara.
Laporan industri terkini menunjukkan potensi ekonomi global AI dianggarkan bernilai AS$670 bilion tahun ini, dengan kadar pertumbuhan sekitar 6.2 peratus setiap tahun.
Sejumlah 749 syarikat baharu telah muncul dalam sektor berkaitan AI, membuktikan kepentingan industri itu dalam mempercepatkan transformasi digital dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Kerajaan akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memahami cabaran sebenar dan membangunkan dasar yang dapat memperkukuh daya saing digital negara.-Berita RTM
