Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengambil langkah sewajarnya selepas keputusan penuh rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung tujuh pemain warisan yang akan diumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) esok.

Menterinya, Hannah Yeoh menegaskan fokus utama kini adalah memperkukuh tadbir urus serta struktur pentadbiran bola sepak negara bagi memastikan isu sama tidak berulang.

KBS akan menilai semula prosedur sedia ada, sekali gus menjamin ketelusan serta pematuhan terhadap peraturan antarabangsa.

“Selepas keputusan rayuan diumumkan, KBS akan bekerjasama dengan FAM dan PJS untuk melihat penambahbaikan yang perlu dilakukan. Kita perlu pastikan pentadbiran bola sepak negara lebih baik kerana pasukan kebangsaan tidak hanya bergantung kepada tujuh pemain ini, tetapi kepada keseluruhan ekosistem sukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja menaik taraf Kompleks Sukan Raja Muda, Kampung Baru, yang bakal dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Terdahulu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta) terhadap FAM dan menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan selepas mendapati berlaku ketidakselarasan dalam dokumen pendaftaran, menurut laporan rasmi badan dunia itu bertarikh 6 Oktober 2025.-Berita RTM