Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menyerahkan tugas sebagai Pengerusi ASEAN kepada Filipina, sekali gus mendakan penutupan tirai penganjuran Sidang kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan tahun ini.

Upacara simbolik penyerahan tukul yang menjadi simbolik acara itu dilakukan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.

Presiden Filipina akan menggalas tugas sebagai Pengerusi baharu untuk sesi yang akan bermula 1 Januari 2026. 

Ini kali keenam Filipina memikul tugas sebagai Pengerusi ASEAN selepas 1976, 1987, 1999, 2007 dan 2017.

Anwar ketika menyampaikan ucapan penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan menyifatkan ASEAN akan membuka satu lembaran baharu tahun hadapan di bawah kepengerusian Filipina.

Beliau berkata, pihaknya yakin ASEAN akan terus bergerak ke hadapan dengan kejelasan, ketenteraman, kemesraan dan keseimbangan yang menjadi ciri rakyat Filipina.

“Pada hari pertama 2026, ASEAN akan memulakan bab baharu.

Pada petang ini, saya berbesar hati untuk menandakan peralihan tersebut dan secara rasmi menyerahkan tugas Pengerusi (ASEAN) kepada Filipina.

“Kepada sahabat saya, Presiden Marcos Jr, ketika anda memikul tanggungjawab ini, saya yakin bahawa di bawah pimpinan anda yang tenang dan berwibawa, ASEAN akan terus ke depan dengan kejelasan, ketenteraman, kemesraan dan keseimbangan,” katanya.

Perdana Menteri turut memetik kata-kata ditulis oleh José Rizal dalam El Filibusterismo, bahawa kehidupan yang tidak didedikasikan kepada cita-cita besar adalah kehidupan yang sia-sia, ia ibarat batu yang terbuang di padang tanpa menjadi sebahagian daripada mana-mana bangunan.

Sebelum mengakhiri ucapan, Perdana Menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai, sukarelawan dan rakan-rakan yang dengan penuh dedikasi, ketabahan serta profesionalisme menjayakan tanggungjawab Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan kemurahan hati sepanjang tahun yang mencabar ini. 

“Anda telah menyambut tetamu kita dengan penuh mesra, menyesuaikan diri dengan setiap gangguan dan mengingatkan rantau ini bahawa sikap ramah bukan sekadar adat kita, tetapi cerminan watak kita.

“Di tangan anda, tanggungjawab telah menjadi khidmat dan khidmat telah menjadi tanda cinta kepada negara. Di mata dunia, anda telah memperlihatkan yang terbaik daripada Malaysia.

“Dengan itu, saya mengisytiharkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan ditutup,” katanya.-BH Online