Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin pengalaman serta kepakaran yang dimiliki mampu membantu Timor-Leste mencapai kemajuan setanding negara ASEAN lain dalam tempoh selewat-lewatnya dua atau tiga dekad. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia memiliki kelebihan melalui model pembangunan luar bandar yang terbukti berkesan, manakala Timor-Leste mempunyai potensi besar ekonomi khususnya dalam sektor kopi serta industri minyak dan gas.

“Malaysia memiliki pengalaman luas dalam merancang pembangunan luar bandar sejak negara merdeka pada 1957, yang mana ketika itu kira-kira 93 peratus penduduknya tinggal di luar bandar. 

“Namun hasil perancangan dan dasar pembangunan yang berkesan, kini terdapat kira-kira 24.7 peratus atau 8.1 juta penduduk di desa berikutan sebahagian besar penduduk berpindah ke kawasan pinggir dan bandar,” katanya.

Terdahulu beliau menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas mewakili kerajaan masing-masing berkaitan kerjasama dalam bidang Pembangunan Luar Bandar, di sini, hari ini. 

Pemeteraian MoU itu menjadi langkah permulaan yang kritikal bagi kedua-dua negara dalam isu pembangunan luar bandar. 

MoU berkenaan menggariskan pelbagai skop kerjasama antaranya membabitkan pembangunan modal insan, transformasi digital, pertumbuhan ekonomi serta pertukaran ilmu yang bertujuan memajukan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata kemajuan itu membuktikan Malaysia berjaya melaksanakan mobiliti sosial terancang iaitu perpindahan masyarakat luar bandar ke kawasan lebih maju.

“Pengalaman ini mahu dikongsikan bersama Timor-Leste supaya mereka dapat merancang pembangunan luar bandar dengan lebih sistematik dan mampan,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata, melalui MoU itu, kedua-dua negara berhasrat mewujudkan kesan sinergi yang mampu meningkatkan keberkesanan inisiatif masing-masing dalam membentuk landskap luar bandar yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan demi manfaat bersama. 

“Kerjasama antara kedua-dua negara akan diperkukuh dalam bidang pendidikan awal melalui peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), pembangunan luar bandar, keusahawanan dan latihan kemahiran teknikal (TVET). 

“Pada masa sama, kerjasama antara kedua-dua negara akan diperkukuh dalam bidang pendidikan awal, pembangunan luar bandar, keusahawanan dan latihan kemahiran teknikal (TVET). 

“Kita juga bersedia berkongsi kepakaran teknikal dan menghantar pegawai kanan bagi membantu pelaksanaan program pembangunan di Timor-Leste, selain menggalakkan pelabur tempatan meneroka peluang pelaburan di negara berkenaan. 

“Malaysia mengambil masa enam dekad untuk mencapai tahap kemajuan kini, tetapi dengan kerjasama erat, Timor-Leste mampu mencapainya dalam dua hingga tiga dekad,” katanya.-BH Online